Sunday, August 29, 2010

Ramadhan-Ukhuwah terus Mantop

Sehari Bersama iLuvIslam
www.iluvislam.com
Oleh: Setiausaha Event Team Malaysia
Editor: azzahra_solehah

14 Ogos 2010 - Alhamdulillah, dengan izinNya,event Team iLuvislam.com telah Berjaya menganjurkan Dialog Krew (DK3) buat kali ke-3 pada hari sabtu lepas (14 Ogos 2010) bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Program ini dijalankan di Masjid Muaz Bin Jabal, Setiawangsa. Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti dijalankan bertujuan untuk memantapkan ukhuwah sesama krew.

Selepas beberapa aktiviti riadah, sesi pertukaran hadiah sudah menjadi seperti resam dalam program DK ini dimana setiap krew perlulah membawa hadiah untuk ditukarkan sesame krew secara rawak. Istimewanya acara ini adalah kerana setiap hadiah hendaklah dibalut dengan surat khabar.

DK3 kali ini diakhiri dengan diskusi sesama krew bagi menbincangkan masalah dalam organisasi, memberi pandangan dan cadangan untuk memantapkan organisasi iLuvislam.com dimasa hadapan.

Diskusi dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Presiden iLuvislam.com, Saudara Imran Koyube kemudian sesi suai kenal bagi krew-krew yang baru pertama kali menghadiri program iLuvislam.com

krew iluvislam yang ceria-ceria belaka

Selepas tamat DK3, program pada hari itu diteruskan lagi dengan B2B@Ramadhan kali ke-3. Program ini adalah anjuran iLuvislam.com dengan kerjasama karangkraf Sdn. Bhd. Melalui B2B ini, pengunjung iLuvislam.com dapat berkumpul beramai-ramai untuk merapatkan silaturrahim di alam realiti. Misi B2b adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin pengunjung iLuvislam.com di seluruh dunia dalam sesuatu masa yang ditetapkan oleh penganjur.

Dalam sesi Sharing@B2B, iLuvislam menjemput Saudara Izwan, Kol. Hamdan dan Ustaz Shahrizan untuk menyampaikan sedikit perkongsian. Saudara Izwan berkongsi tentang pengalaman beliau ketika berada di luar negara serta mengenai betapa pentingnya pertambahan ilmu agama seiring dengan pertambahan usia.

Sesi sharing diteruskan lagi oleh Kol. Hamdan yang menceritakan tentang kepentingan komunikasi yang mantap antara anak dan Ibubapa mereka. Komunikasi yang berterusan akan merapatkan hubungan sesama anak dan keluarga. Ustaz Shahrizan pula berkongsikan pengalaman beliau sepanjang menjadi Imam di masjid beserta dengan sedikit nasihat yang bermanfaat.

Sebelum majlis berbuka, sedikit tazkirah Ramadhan telah disampaikan oleh Ustaz Shahrizan. Fokus utama dalam tazkirah Ustaz Shahrizan adalah mengenai kualiti ramadhan. B2B kali ini ditamatkan dengan Solat sunat tarawih secara berjemaah di Masjid Muaz B Jabal.


Krew, serta user bergambar bersama kol. Hamdan dan ustaz Shahrizan


krew muslimin yang mantop-mantop

Hikmah Bersahur

Assalamualaikum...

Apa kabar shbt2 semua?? bagaimana iman kita hari ni?? masih belum terlambat lg kiranya sy mengucapkn SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA...Sudah lama blog ini tidak di update...kekangan masa dan kerosakan laptop yg dialami lebih menyebabkan blog ini terus menyepi...=D

Sedikit perkongsian hari ini, diambil dari email YG iluvislam...semoga tazkirah ringkas ini menjadi titik tolak bagi kita dalam beramal sepanjang beberapa hari lagi utk menjalani ibadah puasa...topup banyak2 amal, utk menjadi bekalan di hari kemudian..insyaAllah...=D

**********

Salam Ramadhan, salam kemaafan dan selamat berpuasa buat sahabat semua, semoga Ramadhan ini menjadi satu dorongan untuk kita menjadi hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya, dalam ibadat dan akhlak serta umat Rasulullah SAW yang menjadikan Baginda contoh teladan dalam kehidupan kita sehari-hari.

InsyaAllah, pada hari ini saya ingin berkongsi bersama-sama dengan sahabat semua tentang kepentingan bersahur . Kalau ikut logiknya, dengan bersahur, ia akan memberi kita tenaga untuk melakukan aktiviti harian sepanjang kita berpuasa siang hari esoknya. Benar, jawapan ini memang rasional dan boleh diterima dek akal waras kita.

Tapi pernahkah kita terfikir, apakah “sebab sebenar” kenapa kita perlu bersahur? Ada apa dengan bersahur? Ada kaitan dengan agama ke? Kalau tak bangun sahur, tak pe ke?

Kalau dilihat dari sudut agama, orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab) juga berpuasa. Tetapi cara mereka berpuasa sedikit berbeza dengan ibadah puasa yang dikerjakan oleh kita umat Islam. Apa perbezaannya?

Tak lain tak bukan, perbezaanya adalah dengan adanya makan sahur. Puasa mereka tanpa disertakan dengan makan sahur, manakala dalam Islam, kita hendaklah bangun bersahur. Sesungguhnya amalan bangun sahur inilah yang membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Di samping itu, sahur maerupakan satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur ini dapat dilihat dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Hadis ini menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa, walaupun hanya dengan seteguk air.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga ada menyebut tentang kelebihan buat orang yang bersahur, (maksudnya): “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Justeru itu, lantaran kita bangun untuk bersahur adalah lebih baik jika kita menunaikan solat-solat sunat seperti solat sunat tahajjud, taubat dan sebagainya. Jika difikir-fikir semula, adalah amat susah dan merupakan satu cabaran untuk kita bangun seawal 4.30, 5.00 am bagi menunaikan perkara-perkara yang dituntut seperti ini di waktu bulan-bulan yang lain. Untuk itu peluang yang Allah beri untuk kita ini, haruslah untuk kita gunakan sebaiknya.

Sepertimana yang kita semua ketahui, Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang disebut oleh Rasulullah saw sebagai "Bulan UmatKu", satu-satunya umat yang dikurniakan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia.

Sebenarnya amalan bersahur adalah sunnah Nabi s.a.w dan diceritakan bahawa Rasulullah tidak pernah meninggalkan bersahur pada Ramadan. Rasulullah berpesan: “Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan.’ (Hadis dicatatkan Bukhari dan Muslim )

Bersahur ada keberkatan. Persoalannya keberkatan yang bagaimana? Pertama mari kita tinjau lagi apa yang dikatakan oleh Rasulullah.

Dalam kitab Shahih al-Jaami’ ada direkodkan satu pernyataan Nabi yang katanya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memohon rahmat) ke atas orang-orang yang bersahur.”

Masya-Allah, begitulah hebatnya bersahur. Amalan bersahur yang kita laksanakan itu bermakna kita telah menegakkan amalan sunnah Rasulullah dan ini juga satu pembuktian iman dan takwa.

Abu Sa’iad Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengatakan: “Bersahur itu semuanya berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun salah seorang kamu bersahur dengan seteguk air kosong, kerana sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya memohon rahmat kebaikan kepada mereka yang bersahur.” Pernyataan hadis Nabi ini boleh kita rujuk dalam kitab Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib.

Bersahur adalah satu ibadah dan melaksanakannya bermakna mencintai sunnah Rasulullah. Ia bukan sekadar memenuhi perut dengan makanan dan minuman. Mari kita hayati peringatan Allah kepada kita:

“Katakanlah, mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya, (iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya, Tuhan kami, sesungguhnya kami beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur.’(Maksud surah Ali Imran ayat 15-17).

Ayat Allah itu memberitahu kita bahawa waktu bersahur termasuk dalam saat yang terbaik dan yang paling afdal untuk memohon doa kepada Allah.

Jadi, dapatlah dikatakan amalan bersahur adalah anugerah Allah kepada kita yang berpuasa pada Ramadan dan janganlah kurniaan nikmat itu dilepaskan begitu saja. Manfaatkan dengan sepenuh ikhlas mengharapkan keredaan dan keberkatan Allah.

Semoga Ramadan tahun ini kita penuhi dengan segenap amalan wajib dan sunat semata-mata mengharapkan ganjaran pahala berganda di sisi Allah. Ini termasuklah dalam bangun bersahur. Ingatlah, bersahur itu satu ibadah dan amalan sunnah Rasulullah.

SEMOGA SETIAP PEKERJAAN YANG KITA LAKUKAN ITU SEMUANYA BERNILAI IBADAH DI SISI ALLAH SWT. Allahumma Ameen, Wallahua’lam..