Thursday, December 10, 2009

Boleh ke Bergurau?

Gurau Senda
www.iLuvislam.com
Oleh: nasuha02*

Editor: b_b



Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling, biasanya kawan-kawan. Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri, betul tak? Maknanya, bila kita bergurau senda, secara tak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita.

Biasanya, orang bergurau untuk menceriakan suasana. Takkan nak buat muka serius sepanjang masa. Macam kebanyakan orang mengatakan, “Hidup mesti ceria”.

Tapi, mari kita teliti, apa yang selalu ada dalam sesebuah gurauan? Lawak yang direka-reka, cerita yang dibuat-buat, perli memerli dan kata mengata antara satu sama lain. Itu antara yang biasa saya temui. Jarang sekali orang bergurau tapi dalam masa yang sama dia tak menipu. Tak sah kalau bergurau, dia tak mengata-ngata (secara bergurau) kat orang lain.

Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa. Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tak membahayakan orang di sekeliling kita. Saya juga pernah menganggap begitu kerana merasakan apa yang kita guraukan hanya mainan semata-mata, bukan betul-betul, dan bukan niat untuk betul-betul berbohong.

Betulkah persepsi macam ni?



Banyak Ketawa Mematikan Hati

Pernahkah anda lihat orang yang ketawa terbahak-bahak, sampai katanya nak pecah perut dan sampai tak cukup udara nak bernafas? Apa yang kita fikir? Pastinya orang tu baru saja lihat atau dengar satu jenaka atau gurauan yang sangat menggelikan hati. Betul tak?

Kita akan ketawa apabila ada sesuatu yang menggeletek hati. Ya, itu memang sesuatu yang normal. Tapi, hakikatnya, di situlah akan timbulnya masalah. Gurauan yang melampau-lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa.

Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali, beliau menyenaraikan senda gurau sebagai salah satu unsur bahaya yang dibawa oleh lidah. Kata beliau,

Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang, kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan daripadanya.[1]

Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya: “Jangan engkau berbantahan dan bergurau dengan saudaramu!

Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri. Kata Imam Ghazali,

Adapun berlebih-lebihan pada bergurau, maka akan mempusakai banyak tertawa. Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan. Dan apa yang terlepas dari hal-hal tersebut, maka tidak tercela,” sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.[2]

Kita biasa dengar,

Isy dia ni. Ketawa sampai tak ingat dunia!

Hakikatnya begitulah keadaan orang yang ketawa berlebih-lebihan. Larut dalam dunia ketawanya. Sampai lupa dan tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Dan lebih parah lagi, ketawanya itu juga menunjukkan kelalaian dari mengingati akhirat.

Nabi S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya pasti kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.[3]

Nilai Gurauan vs Nilai Persaudaraan

Ketawa memang seronok. Tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati. Hakikatnya, itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan - mentertawakan orang lain.

Kita mungkin sekadar main-main, kata orang menyakat. Tapi, siapa tahu apa yang dirasai ‘watak utama’ kisah gurauan tersebut? Mungkin tak kisah, mungkin marah, mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa.

Gurauan yang dianggap sekadar main-main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan, pertengkaran, tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim. Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata-kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah?

Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda:
Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang surayya.

Jujur dalam Berjenaka dan Gurau Senda

Sedarkah kita, ketika bergurau senda dengan rakan-rakan, kita mungkin dah berbohong? Berbohong bukan maksud saya betul-betul bercakap bohong. Tapi, hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.

Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, last sekali, kita mesti akan cakap,

Aku main-main je la…

Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.

Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta. [4]

Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.[5]

Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi tidak menjadikannya sebagai pembuka jalan kepada kita untuk berdusta.

Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.[6]



Macam mana cara yang betul untuk bergurau? Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda.

Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.” Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.

Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata, “Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.

Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.[7]

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.

Apa yang saya perhatikan dalam kisah di atas dan beberapa kisah lain, Rasulullah menggunakan kaedah “double meaning” dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza. Jadi, cara sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau.

Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:
Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih).

Mereka itu menjawab: “Tidak!

Maka Umar r.a. menjawab:
Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.

Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka. Na'uzubillahi min dzalik.

~Wallahu a'lam~


Nota kaki:
[1] Ihya' Ulumiddin, Imam Ghazali, Jilid 4, Bab Bahaya Lidah.
[2] Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah.
[3] Riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas dan 'Aisyah r.a.
[4] Riwayat Bukhari dan Muslim.
[5] Riwayat at-Tirmizi.
[6] Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah.
[7] Riwayat Abu daud dan at-Tirmizi dari Anas, Hadis shahih

Friday, November 27, 2009

Aidiladha tanpa umi dan ayah


Assalamualaikum...

Apa kabar sahabat2 sekalian....bagaimana iman kite arini?? bagaimana pula dgn amalan kite?? moga semuanya berjalan selari hendaknye...

Rasanye masih belum terlambat utk mengucapkan Selamat Menyambut AidilAdha...moga aidiladha kali ini mengajar kite erti pengorbanan yg sebenar...

Pagi2 lagi sy dah bangun dan bersiap2 utk ke masjid, 7.30 p sy bersama adik2 bergerak ke masjid...pesanan ayah semasa menelefon sy, kakak jgn lambat2 g masjid siap cepat2 n bawa adik2...sy menuruti kata2 ayah, dan kami merupakan orang pertama tiba di masjid...(huhu, abg ku merungut kenapa awal sgt g masjid)

Usai solat aidiladha, balik ke rumah dan bersiap2 utk ke rumah nenek...sampai di rumah nenek, semua dah berkumpul dan sangat meriah...sedihnye, kerana kami beraya tanpa umi dan ayah...aktiviti raya kali ni, bergambar dan pergi hospital melawat datuk...datuk baru lepas menjalani major operation...

terpancar di wajah datuk rase sayu,melihat ramai cucu2 dan anak menantu dtg ziarah...datuk tidak boleh bercakap banyak dan masih dalam keadaan lemah..nenek yg sudah tua dan semakin uzur menemani datuk sejak awal pagi...itulah pengorbanan seorang isteri terhadap suami..besar pengorbanan nenek pada kami sekeluarga...

Ayah ada menelefon sy pada jam 11.30 pagi utk bertanya kabar dan mengucapkan salam aidiladha...terdengar suara ayah yg sangat gembira berada di sana...Ayah n umi,moga sihat sentiasa dan dapat menunaikan ibadah dgn sempurna...doakan kami di sini...



Friday, November 20, 2009

2 in 1- Kegembiraan dan Kesedihan

Assalamualaikum....

Apa Khabar sahabat2 sekalian?? moga sentiasa dibawah naungan dan rahmat kasih sayangNya... bersyukur ke hadrat ilahi kerana kita masih berpeluang merasai nikmat iman dan islam,Alhamdulillah...

Ok, ape ye post kali ni...2 in 1?? kenapa?? kerana terselit kesedihan dan kegembiraan setiap perkara yg berlaku dalam kehidupan sy baru2 ini...

Alhamdulillah, akhirnya tamat sudah peperangan exam dan demam exam pd 11hb yg lepas...dan seperti perancangan awal, sy dan JPK2 mawar yg lain akan ke PANGKOR utk bercuti bersama2 selama 3 hari...namun,disaat2 akhir sy terpaksa menarik diri...sob3,sedih sgt...3 hari menangis x henti2 (tipu je,nangis kejap2...biasa la tu...hehe)..sy lah org yg paling bersemangat utk pergi bercuti dan akhirnya sy juga org yg menarik diri...ade hikmah disebalik semuanya itu, rezeki belum tiba...

kenapa ye sy menarik diri?? merajuk?? eh, xla...bukan merajuk,tp ade tanggungjawab lain yg perlu diutamakan...sebagai anak sulung, keperluan keluarga perlu diutamakan...umi dan ayah mengharapkan sy disisi mereka sebelum saat akhir mereka meninggalkn tanah air...

berita gembira utk umi dan ayah, Alhamdulillah mereka berpeluang utk menunaikan haji pada tahun ini...lambaian kaabah disambut dgn hati yg girang dan penuh kesyukuran...mereka telah selamat tiba di tanah suci makkah pada 16 nov....kegembiraan jelas terdengar dari corong telefon...ya,walaupn agak sedih kerana terpaksa berpisah sementara namun hati gembira diatas kegembiraan umi dan ayah...moga lepas ini rezeki sy pula ke tanah suci...

setiap yg baik dan buruk itu semuanya ketentuan Ilahi, ada hikmah di setiap kejadian..cume kite perlu renung kembali...jgn mudah mengeluh,jgn mudah berputus asa...kite perlu terus berusaha, berusaha utk menjadi yg terbaik..berusaha utk mendapat yg terbaik,walaupn kadangkala ianya sukar...ya Allah, aku ini hambaMu yg lemah...tabahkan lah hati,kuatkn imanku,perbaikilah akhlakku...hanya kpd Mu ya Allah,aku berserah dan kepada Mu aku minta pertolongan...amin

Monday, November 9, 2009

Jom!! Muhasabah Diri Kita

Muhasabah Diri
www.iLuvislam.com
buluh*
Editor : kasihsayang


Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:

Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala. (Kitab: al-Burhan al-Muayyad).


Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar. (Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas. (Kitab: Qawaid al-Tasawuf).

Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.

Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).



--------------------

*buluh merupakan 'nickname' bagi salah seorang moderator agama iLuvislam.com, Ustaz Rashidi Abdul Wahab. Beliau aktif menulis di blog beliau, http://buluh.iluvislam.com. Pelbagai artikel tulisan beliau telah diterbitkan dalam akhbar seperti Berita Harian.


luahan hatiku: sy slalu lalai dan leka...mg perlu muhasabah slalu, perlu dinasihatkn selalu....tp hati sy sgt lembut, sgt mudah terusik...hm, sedihnya...

ya Allah, aku hambaMu yang lemah ya Allah...kuatkanlah iman ku...perbaikilah akhlakku, masukkanlah aku dalam golongan org2 yg beriman...jauhilah aku dari kemaksiatan dan tipu daya dunia...hiasilah diriku dgn keimanan yg teguh, dan akhlak yg mulia...sesungguhnya Engkau yg Maha Penyayang lg Maha mengasihani...