Sunday, January 17, 2010

Memahami Maratib Amal

Memahami Maratib Amal dan Nama Allah
www.iluvislam.com
Firdaus Rahim*
Editor : Im Koyube


Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai maratib (ketertiban) amal, dan mungkin juga ada yang tidak pernah lansung mendengar mengenainya. Semoga yang tidak pernah mendengar, ini disebabkan oleh anda belum berpeluang mendengar, dan bukanlah kerana sindrom ''aku tidak pedulisme''

1. Individu Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khilafah Islam
7. Kuasa dunia

Turutan maratib amal memperjelaskan kepada kita akan keutamaan di dalam melaksanakan amal. Sebelum itu, mari kita dengar sebuah kisah...

Ada orang....

Dia selalu membaca kisah-kisah pergolakan di seluruh dunia. Penindasan yang berlaku di Palestin dan selatan Thailand, begitu juga kekejaman di beberapa wilayah di China, dan peperangan yang berlaku di Darfur, Bosnia dan Ambon. Ini belum dicampurkan lagi dengan malapetaka yang melanda seperti ''the great Tsunami wave'' yang berlaku di Acheh dan gempa yang mengorbankan begitu banyak sekali nyawa di serata dunia.

Terlalu banyak pembacaan dan mengambil tahu hal ehwal serata dunia menyebabkan individu ini merasa tertekan dan marah kepada diri sendiri, lantaran kelemahan dan ketidak mampuan diri untuk membantu semua situasi yang disebutkan di atas.

Lantas penting untuk individu ini memahami perbezaan di antara ''sphere of concern'' dan ''sphere of influence'', untuk menjadikan kita lebih bijaksana dan berhikmah dalam tindakan dan amalan. Individu yang bijak akan mengenalpasti ruang lingkup sphere of influence nya terlebih dahulu daripada risau akan segala concern yang tidak mampu diselesaikan. Kita perlu menilai semua concern yang ada, dan berlepas daripada titik mula yang anda paling mampu mengubahnya. Dan 'ajaib'nya, anda paling berkuasa ke atas perubahan diri anda!!

Isu Kalimah Allah
Di kala isu pengunaan nama Allah sedang hebat diperbincangkan di tanah air pada saat penulisan ini dikarang, mari kita melihat beberapa perspektif positif yang menarik untuk direnungkan:

Yang menganjak paradigma

1. Ada persatuan pelajar di dalam dan luar negara yang amat sukar untuk menganjurkan program yang bercorak keagamaan dan yang ada 'Allah' disebut di dalamnya, dengan alasan, kita kena berlaku adil. Namun isu ini telah membawa paradigma baru. Siapa kata program yang ada 'Allah' disebut di dalamnya hanya untuk Muslim?

2. Lawatan tokoh agama seperti Tuan Guru Nik Aziz ke gereja dan bertemu serta memberikan sumbangan kepada paderi katholik mungkin telah menyebabkan golongan-golongan tertentu terlompat daripada kerusi mereka. ''Aik, sheikh berserban pun datang melawat gereja?'' Bukan salah mereka, maafkan mereka kerana mungkin mereka kurang mengerti kerana suasana sebegitu yang wujud dalam masyarakat kita di Malaysia. Rupanya Islam sangat rapat dengan geng Kristian.

Sebagaimana Allah berfirman di dalam surah 5, ayat 82;

And you will find that the closest people in friendship to the believers are those who say, "We are Christian." This is because they have priests and monks among them, and they are not arrogant

3. Aplikasi maratib amal.

i) Individu: Di situasi sebegini, kita boleh menilai kembali (post mortem atau muhasabah) sphere or influence kita. Sedang kita sibuk-sibuk mengatakan wajar atau tidak nama Allah digunakan oleh yang bukan Islam, di manakah sebenarnya letaknya Allah di dalam diri kita? Analoginya, ada orang yang suka beli buku, tapi tak baca. Kalau orang nak pinjam, dia kedekut, dan barulah terhegeh-hegeh nak baca dan berkata ''boleh aku baca dulu buku ni?''. Tapi akhirnya buku itu terbiar diselaputi habuk di rak buku. Contoh termudah yang boleh kita tanya kepada diri, awalkah solat lima waktu kita?

ii) Keluarga & masyarakat: Kepada para professional dan barisan pelajar yang bakal menjadi tenaga professional yang sewajarnya lebih matang dalam mengawal emosi, dan perlu menggunakan peluang ini untuk menerangkan kepada masyarakat yang terkadang-kadang gagal mengawal emosi. ''Banyakkan menerang, bukan menyerang', kata Tuan Guru Hadi Awang. Antara yang boleh anda lakukan ialah;

- Jika kaum keluarga anda antara yang 'mengamuk' dalam isu ini, telefon keluarga di tanah air dan katalah; ''Ala, rileks lah Pak Anjang Bote, kalau kita dok gaduh ni, Islam pun tak ajar''

- Tulis surat kepada sekolah rendah dan sekolah menengah anda dahulu, dan tujukan kepada para pelajar dan guru-guru akan kepentingan untuk ada prinsip Islam yang tegas namun penuh hormat dan toleransi kepada bukan Islam. Kata-kata anda pastinya ada pemberat yang tersendiri.

- jadikan kesempatan ini untuk dijadikan 'modal' bercerita kepada rakan-rakan yang bukan Islam yang INGIN TAHU berkenaan Islam. Kesian kat depa ni...

iii) Negara & pemerintahan: Perjelas dan jernihkan fikrah dan kefahaman kita. Ada hikmahnya kenapa Allah menjadi pelbagai situasi dan keadaan, untuk kita mengambil ibrah dan pelajaran. Apabila isu ini ditimbulkan, ada yang marah, namun sekian lama HUKUM ALLAH diabaikan, kenapa kita 'buat dek' dan seolah-olah tidak tahu menahu? (I don't give a damn!!)

Jangan kaku
Jangan pula kita mengatakan ''aku belum mampu'' dan mengecilkan sphere of influence kita. Analoginya, kita mesti basuh tangan sebelum makan, namun jangan pula kita basuh tangan sahaja dan tak makan-makan. Daripada sudut lain, boleh sahaja kita makan tanpa basuh tangan, namun itu tidak hygienik dan lama-kelamaan akan membawa kemudaratan. Justeru, hendaklah kita sedar proses basuh tangan dan kemudian makan adalah satu proses berterusan yang tak ada penghujungnya. Mari kita belajar daripada Nabi Allah Ibrahim a.s. yang 'mencari' tuhannya, dan kemudian terjun bertemu dengan masyarakatnya walaupun 'gagal' menyakinkan ayahnya sendiri untuk kembali kepada ajaran Islam.

Jangan jadi semut
Akhir kata, janganlah kita sebagai ummat Islam menjadi laksana kumpulan semut di sebuah busut. Apabila dilontarkan sesuatu yang menimpa, semuanya lari bertempiaran dan berlanggaran sesama sendiri dan hilang arah tuju. Apabila ummat Islam dilontarkan sesuatu isu, semuanya gelabah dan hilang daya rasional. Mari kita mainkan peranan dan influence yang ada di dalam diri masing-masing demi kesejahteraan seluruh dunia.




*Firdaus Rahim merupakan salah seorang co-founder iluvislam.com dan kini menuntut ilmu di University of Nottingham dalam bidang perubatan.